12 cases of Influenza A (update)
5/15/2009 03:49:00 PM | Author: fadzly

Kes ke-18 H1N1 positif di Malaysia

16/06/2009 6:34pm

KUALA LUMPUR 16 Jun — Seorang warganegara Filipina yang bekerja sebagai kelasi dengan syarikat perkapalan Malaysia yang berpangkalan di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, Selangor dikesan menghidapi influenza A(H1N1).

Lelaki itu yang tiba di Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Manila dengan menaiki Malaysia Airlines (MAS) MH705 pada Ahad lepas telah dikesan dan disahkan demam semasa saringan di KLIA di samping mempunyai simptom batuk, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

“Beliau telah dirujuk serta dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan disahkan menghidap influenza A(H1N1) pukul 4.08 petang semalam, rawatan antiviral telah pun dimulakan,” katanya dan menambah dengan ini menjadikan jumlah keseluruhan kes influenza A(H1N1) di negara ini meningkat kepada 18 kes, dan kesemuanya kes import.

Kementerian Kesihatan sedang mengesan kesemua kontak termasuk anak kapal dan penumpang MH705, kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

Mereka boleh menghubungi talian 03-88810200 atau 03-88810300 bagi membolehkan pihak berkenaan memberikan nasihat kesihatan termasuk keperluan kuarantin rumah, katanya.

— BERNAMA


Kes ke-12 H1N1 dilaporkan


13/06/2009 6:01pm

KUALA LUMPUR 13 Jun — Satu lagi kes baru Influenza A(H1N1) positif disahkan hari ini, menjadikan kesemuanya 12 kes yang dilaporkan di negara ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Beliau berkata kes ke-12 itu membabitkan seorang penuntut perubatan lelaki berusia 19 tahun dari sebuah institusi pengajian tinggi swasta di Malaysia yang telah bercuti ke Melbourne, Australia selama 17 hari bermula 24 Mei.

Penuntut itu pulang ke Malaysia bersama-sama tiga orang rakannya dengan Malaysia Airlines (MAS), MH148 yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada pukul 9.21 malam, Rabu lepas. Tempat duduk beliau ialah 36F manakala rakan-rakannya duduk di barisan yang sama, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Dr Mohd Ismail, penuntut itu tidak demam semasa di KLIA dan beliau telah singgah ke rumah rakannya di Ampang sini sebelum pulang ke rumah bapanya juga di sini.

Khamis lepas, penuntut itu keluar makan tengah hari di sebuah pusat membeli-belah bersama ibunya, dan ketika ini, beliau telah mula berasa demam tetapi penuntut itu kemudiannya keluar bersama-sama rakannya di sekitar Kuala Lumpur.

H1N1: rakyat Malaysia dinasihat tangguh lawatan ke negara terjejas


12/06/2009 4:16pm

KUALA KRAI 12 Jun — Rakyat Malaysia yang ingin melawat negara yang terjejas akibat wabak Influenza A (H1N1) dinasihat menangguhkan sementara hasrat mereka untuk ke negara terbabit.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata tindakan itu sebagai langkah pencegahan dalam usaha kerajaan mengelak wabak itu daripada terus menjangkiti rakyat negara ini.

“Mereka yang ingin melawat ke negara yang terbabit dengan wabak H1N1 hendaklah menangguhkan hasrat itu jika tidak perlu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kem Kesihatan Perdana Kuala Krai 2009 di Sekolah Kebangsaan Manik Urai Lama, di sini hari ini.

Beliau berkata selain itu, kerajaan turut memberi garis panduan khusus kepada rakyat Malaysia di luar negara, termasuk pelajar supaya menjaga kebersihan dalam mengawal penularan penyakit itu.

Ketika berucap, Rosnah berkata kementeriannya akan mengubah pendekatan dalam memajukan masyarakat warga emas daripada konsep kebajikan kepada pembangunan bagi memastikan mereka terus aktif dan produktif.

Perubahan pendekatan ini termasuk menggalakkan gaya hidup sihat, bersenam, menangani tekanan dengan bijak dan tidak merokok, katanya. - Bernama

16 notifikasi kes H1N1 diterima sehingga 12 malam tadi


03/06/2009 3:20pm

PUTRAJAYA 3 Jun — Daripada 16 notifikasi kes mempunyai tanda jangkitan influenza A (H1N1) yang diterima di seluruh negara sehingga tengah malam tadi, 15 disahkan negatif manakla satu lagi masih menunggu keputusan makmal, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Kesemua kes dimasukkan ke wad isolasi di enam hospital rujukan bagi tujuan rawatan dan penyiasatan, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengenai kes kuarantin di rumah, beliau berkata empat kontak masih dikuarantin dan semuanya dalam keadaan sihat tanpa gejala jangkitan influenza A (H1N1).

Sehingga kini jumlah terkumpul kes yang mengalami simptom jangkitan influenza ialah 387 dan daripada jumlah itu, hanya dua kes yang disahkan positif seperti yang dilaporkan pada 15 dan 16 Mei lepas.

Dr Mohd Ismail berkata aktiviti saringan di 53 pintu masuk antarabangsa negara masih diteruskan. - Bernama


Awas gelombang kedua

PUTRAJAYA 20 Mei – Orang ramai diingatkan supaya tidak mengambil mudah situasi jangkitan virus selesema babi atau influenza A (H1N1) yang kini berada pada tahap sederhana kerana ia boleh bertukar menjadi serius pada gelombang jangkitan kedua.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican (gambar) berkata, rakyat tidak boleh berasa selesa dengan keadaan sekarang berikutan virus H1N1 mampu merebak dengan cepat.

‘‘Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr. Margaret Chan telah memberi amaran mengenai gelombang kedua H1N1, ia boleh menjadi serius selepas virus mengalami mutasi,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, WHO mengesan ada kes yang mana pesakit H1N1 tidak mengalami demam sebaliknya hanya cirit-birit.

‘‘Wabak ini selalu menyerang golongan muda dan bukan semua pesakit akan mendapat demam, 25 peratus pesakit mengalami cirit-birit,” katanya.

Beliau berkata, rakyat tidak harus bergantung sepenuhnya kepada kerajaan untuk membendung penularan wabak influenza tetapi mereka juga perlu memainkan peranan dengan menjaga kebersihan diri.

‘‘Orang ramai perlu mencuci tangan dengan cara yang betul malahan bahagian kuku juga perlu dibasuh menggunakan sabun.

‘‘Mana-mana individu yang mengalami selesema perlu berada di rumah dan jika perlu keluar, mereka mesti memakai penutup muka untuk mengelakkan penyakit tersebar melalui udara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pemimpin yang menghadiri mesyuarat WHO di Geneva memuji tindakan yang diambil oleh Malaysia dalam mencegah penularan H1N1.

‘‘Saya berbangga kerana mereka memaklumkan bahawa pegawai kita cukup profesional dalam menjalankan tugas-tugas mencegah penularan wabak,” katanya.

Ditanya kemungkinan WHO meningkatkan tahap amaran influenza daripada tahap lima ke enam, Dr. Mohd. Ismail berkata, badan itu pada ketika ini tidak berbuat demikian kerana ia boleh mencetuskan implikasi di peringkat global.


Malaysia bebas pemindahan wabak H1N1 di kalangan rakyat

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mengesahkan bahawa Malaysia kini bebas daripada pemindahan wabak Influenza A (H1N1) di kalangan rakyat tempatan.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Ismail Merican, berkata sehingga kini 222 individu yang dikurantin di rumah masih bebas daripada virus H1N1 walaupun mereka menaiki pesawat sama dengan dua rakyat tempatan yang disahkan positif.

Beliau berkata, sehingga kini hanya dua kes disahkan di Malaysia dan mereka terbabit dalam keadaan stabil.

Pahang bebas Influenza A (H1N1)

KUANTAN: Sepasang suami isteri, pelancong dari Sweden dan empat sekeluarga di Bentong yang sebelum ini dikuarantinkan masing-masing di hotel di Jerantut dan rumah didapati bebas daripada penyakit Influenza A (H1N1).

Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr Rosnah Ismail, seorang wanita yang baru pulang dari New York yang dikuarantinkan di Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini, semalam, juga didapati dia bebas daripada penyakit itu.

"Tindakan mengkuarantin pesakit itu adalah sebagai langkah pencegahan," katanya. - Bernama

Pramugari MH091 bebas daripada influenza A (H1N1)

IPOH: Pramugari yang bertugas dalam pesawat MH091 dari Newark, Amerika Syarikat, yang dinaiki penumpang yang dijangkiti influenza A (H1N1), Rabu lalu, bebas daripada wabak itu.

Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak, berkata pemantauan rapi yang dilakukan terhadap wanita itu yang dikuarantin di kediamannya di Ayer Tawar sejak semalam tidak menunjukkan beliau dijangkiti wabak itu.

"Pemantauan mendapati tiada simptom serangan wabak ini terhadapnya dan beliau tidak perlu lagi menjalani kuarantin di rumah mulai petang ini," kata jurucakap itu, hari ini.

Jurucakap jabatan itu berkata, walaupun Perak kini bebas daripada serangan influenza A, saringan dan pemantauan terhadap kemasukan pelancong di Kompleks Kastam dan Imigresen di Pengkalan Hulu akan diteruskan sehingga wabak ini benar-benar berjaya dikawal.

Empat mangsa yang dikuarantin di Hospital Tuanku Bainun di Ipoh kerana disyaki mempunyai simptom penyakit itu dibenarkan pulang ke rumah masing-masing petang semalam, katanya. - Bernama

Kem PLKN Setia Ikhlas disyaki dilanda wabak selsema babi

20/05/2009 4:34pm

KUALA LUMPUR 20 Mei — Satu wabak disyaki influenza telah berlaku di kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Setia Ikhlas di Semenyih dengan setakat ini 30 orang telah dikenal pasti mempunyai simptom influenza.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Ismail Merican dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata pelatih tersebut mempunyai gejala demam, batuk yang ringan, sakit tekak dan sakit badan sejak 14 Mei lepas.

Katanya daripada jumlah itu, 26 telah dirawat di bilik isolasi kem, tiga di Hospital Kajang, seorang daripadanya di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dua lagi di wad perubatan.

Seorang lagi pesakit telah keluar dari hospital semalam, menurut kenyataan itu. — Bernama

Malaysia bebas selesema babi

20/05/2009 4:09pm

PUTRAJAYA 20 Mei - Kementerian Kesihatan hari ini mengisytiharkan Malaysia bebas daripada penularan tempatan virus influenza A (H1N1).

Mengesahkan demikian, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Ismail Merican berkata, ini berikutan pihaknya tidak mengesan kes baru H1N1 sejak jangkitan pertama dan kedua dilaporkan minggu lepas.

``Dua jangkitan ini adalah dibawa dari luar negara dan tidak berlaku apa-apa penularan tempatan,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. - Utusan

Penumpang dua pesawat yang mempunyai kes positif H1N1 dinasihati dapatkan rawatan

19/05/2009 10:34am

PUTRAJAYA 19 Mei – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihati semua penumpang dua pesawat yang mempunyai kes positif H1N1 supaya segera tampil mendapatkan rawatan. - Bernama

WHO digesa isytihar HIN1 pandemik

08:53 AM, 19 MAY 2009
GENEVA: Negara di seluruh dunia terus mendesak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) supaya menukar kriteria amaran virus Influenza A (H1N1) sebagai pandemik berikutan penularannya semakin serius merentasi dunia.

Beberapa negara pula bimbang sekiranya H1N1 diisytiharkan pandemik, ia boleh mencetuskan panik serta menggugat ekonomi dunia.

Negara seperti Britain, Jepan dan China mahu WHO itu terus memantau lebih dekat tahap penularannya yang kini merentasi seluruh dunia.

Beberapa negara lain juga mendesak WHO segera mengeluarkan vaksin untuk membendung virus H1N1 secara segera dan besar-besaran, dan tidak hanya menganggapnya sebagai virus bermusim sahaja.

WHo bagaimanapun berkata, pihaknya masih mengekalkan tahap amarannya sebelum ini dan akan melihat cadangan yang dibuat beberapa negara anggotanya.

"Ya, kami tetap memantau penularan wabak ini secara lebih dekat setiap masa," kata Dr Keiji Fukuda, pemangku penolong ketua pengarah WHO.

Beliau berkata, amaran wabak H1N1 kini kekal di tahap lima yang bermaksa virus itu menular di sekurang-kurangnya dua negara dalam satu wilayah atau rantau.

Mengikut peraturan sekarang, tahap enam pula membabitkan sekurang-kurangnya dua wilayah/rantau berbeza, dengan isyarat bahawa ia di tahap pandemik.

"Kami mahu anda (WHO) dan pasukan anda lebih masa dan ruang untuk mengisytiharkannya ke tahap enam," kata Setiausaha Kesihatan Britain, Alan Johnson memberitahu Ketua Pengarah WHO, Dr Margaret Chan di sini, semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Chan dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon dijadual bertemu beberapa wakil kanan firma farmasi hari ini untuk membincangkan pengeluaran vaksin membendung virus H1N1, termasuk firma Sanofi-Aventis, GlaxoSmithKline dan Baxter International. - AP

IPT diarah berjaga-jaga terima pelajar antarabangsa elak H1N1

18/05/2009 5:14pm

PUTRAJAYA 18 Mei — Semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) diarah mengambil langkah berjaga-jaga terhadap wabak Influenza A (H1N1) ketika menerima kemasukan pelajar antarabangsa Julai ini.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata IPTA dan IPTS bakal terdedah kepada ancaman wabak itu memandangkan mereka adalah pintu masuk untuk pelajar luar negara.

Beliau berkata semua IPTA dan IPTS termasuk politeknik dan kolej komuniti perlu mengamalkan langkah berjaga-jaga dengan mematuhi garis panduan yang diberi Kementerian Kesihatan.

“Mereka juga perlu memberi perhatian kepada pelajar antarabangsa yang didapati mempunyai simptom-simptom wabak itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Khidmat Cemerlang kementerian itu di sini hari ini.

Beliau berkata majlis perwakilan pelajar di luar negara juga telah diberitahu supaya mengamalkan langkah berjaga-jaga.

“Kita berharap mereka dapat mengikut arahan yang dikeluarkan dan memberi perhatian serius agar tidak terdedah kepada bahaya wabak itu,” katanya.

— BERNAMA

Malaysia boleh diisytihar bebas penularan H1N1 Rabu ini

18/05/2009 3:46pm

PUTRAJAYA 18 Mei — Malaysia boleh diisytihar bebas daripada penularan virus Influenza A (H1N1) dalam tempoh dua hari lagi, jika tiada kes baru dilaporkan sehingga Rabu ini Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Ramlee Rahmat berkata ini berdasarkan tempoh penularan virus itu, iaitu tujuh hari selepas kes pertama dikesan di negara ini, 13 Mei lepas.

“Setakat ini belum ada penularan virus itu di Malaysia. Dua kes yang dikesan datang dari negara yang sama, jadi mereka mungkin dijangkiti virus itu di sana.

“Selepas 20 Mei mungkin kita boleh kata tiada penularan virus itu di negara ini, tetapi kita tidak boleh katakan negara bebas dari virus itu kerana ia boleh berlaku pada bila-bila masa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata sehingga pagi ini, sebanyak 111 kes diasingkan bagi tujuan pemeriksaan di seluruh negara. Selain dari dua kes yang disahkan sebelum ini, kes lain didapati negatif.

Dr Ramlee berkata daripada sembilan kes yang disyaki semalam, empat dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, dua di Hospital Kangar, dua di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban dan satu kes di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bharu.

Mengenai kes pertama wabak itu yang dirawat di Hospital Sungai Buloh, Dr Ramlee berkata pesakit itu berada dalam keadaan stabil dan ujian x-ray menunjukkan keputusan normal. Keluarganya yang dikuarantin juga berada dalam keadaan sihat.

Bagi kes kedua yang dirawat di Hospital Pulau Pinang, Dr Ramlee berkata pesakit itu tidak lagi demam dan anggota keluarganya juga sihat.

“Selepas doktor membuat rawatan dan pengesahan bahawa dia betul-betul bebas daripada virus itu, dia akan dibenar pulang. Biasanya lima enam hari daripada hari beliau mendapatkan rawatan,” katanya apabila ditanya bila kedua-dua pesakit itu akan dibenar pulang.

Mengenai tindakan mengesan penumpang pesawat MH091, Dr Ramlee berkata tujuh lagi yang dapat dikesan kini dikuarantin di rumah dan kesemuanya berada dalam keadaan sihat. Sebanyak 17 lagi penumpang yang perlu dikesan.

Lapan lagi penumpang MH091 sedang dikesan
18/05/2009 1:19pm


Oleh NOR SEDEK ISMAIL

SHAH ALAM 18 Mei - Jabatan Kesihatan Selangor sedang bekerja keras membantu Kementerian Kesihatan untuk mengesan lapan lagi penumpang yang menaiki pesawat MH091 berhubung wabak influenza A (H1N1).

Pengerusi Jawatankusa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Dr. Xavier A. Jayakumar memberitahu mereka adalah empat rakyat tempatan dan empat warga asing beralamat di negeri ini tetapi gagal dikesan berdasarkan alamat terakhir yang diberikan.

Pada sidang akhbar di sini hari ini beliau memberitahu mereka adalah antara 47 penumpang yang tiba dari New York di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 13 Mei, beralamat di Selangor dan 39 daripadanya sudah berjaya dikenali pasti untuk tindakan sewajarnya.- Utusan.

2 penumpang MH091 di Sarawak bebas H1N1

18/05/2009 1:19pm

KUCHING 18 Mei – Dua daripada sembilan penumpang penerbangan MH091 di Sarawak, yang dimasukkan ke Hospital Besar Sarawak di sini, didapati negatif H1N1, kata Menteri Muda Kesihatan Awam dan Perumahan, Datuk Dr. Soon Choon Teck.

Beliau berkata, kedua-dua penumpang itu, seorang lelaki dan wanita yang berusia dalam lingkungan 20-an, didapati bebas daripada virus itu selepas menjalani ujian klinikal.

“Pada masa ini tiada lagi pesakit yang disyaki dijangkiti virus H1NI,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Wanita itu dimasukkan ke wad pengasingan hospital berkenaan pada Sabtu dan lelaki berkenaan semalam apabila mereka mengalami demam.

Beliau berkata tujuh lagi penumpang pesawat itu kini dikuarantin di rumah untuk tempoh tujuh hari. – BERNAMA.

2 termasuk budak dikuarantin

PADANG BESAR 16 Mei – Seorang lelaki berusia 43 tahun dan kanak-kanak berumur empat tahun diletakkan di bawah pemerhatian di wad pengasingan Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar dekat sini selepas didapati mempunyai simptom selesema babi atau influenza A (H1N1).

Lelaki berasal dari Kampung Melayu Padang Besar di sini itu merupakan seorang peniaga yang sering berulang alik dari Hatyai, Thailand ke negara ini manakala kanak-kanak tersebut berasal dari Mata Ayer, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesihatan dan Pembangunan Luar Bandar Perlis, Ahmad Bakri Ali mengesahkan kedua-duanya yang mempunyai simptom H1N1 itu dikuarantin bagi membolehkan pemeriksaan lanjut dilakukan.

Katanya, lelaki itu dikuarantin semalam dan kanak-kanak itu pula dibawa ke HTF kira-kira pukul 1 pagi tadi.

“Sampel darah mereka dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan di Kuala Lumpur dan difahamkan keputusannya akan diketahui dalam tempoh dua hari lagi.

“Lelaki itu mulanya mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Padang Besar dan dirujuk ke HTF selepas dikesan mempunyai simptom menjurus kepada virus H1N1,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Cabaran Eko Paintball Malaysia (MEPC) di Gua Kelam di sini hari ini.

Hadir sama Presiden Persatuan Paintball Malaysia (PPM), Azizul Rahman Abdul Wahab.

Ahmad Bakri berkata, mereka terlibat kini dikuarantin terlebih dahulu belum dipastikan sama ada menghidap H1N1 atau hanya mengalami selesema dan demam biasa.

“Pihak HTF melakukan semua prosedur biasa bagi mengawal dan mengenal pasti virus ini termasuk tindakan kuarantin sehingga keputusan sampel darah diperolehi.

“Kami menasihatkan rakyat khususnya di Perlis tidak panik dengan perkara ini kerana ia prosedur biasa yang harus dilakukan bagi mengelak virus berkenaan daripada terus merebak,” ujarnya.

Sementara itu tinjauan Mingguan Malaysia mendapati pihak HTF mengadakan kaunter khas di Jabatan Kecemasan hospital tersebut bagi membuat saringan mengesan kes-kes demam sebelum rawatan lanjut diberikan.

H1N1: PM mahu pemeriksaan diketatkan

SHAH ALAM 16 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu pemeriksaan terhadap penumpang di pintu masuk negara, terutamanya penerbangan dari Amerika Syarikat dan negara lain yang dilanda wabak influenza A (H1N1), diperketatkan.

Malaysia perlu mengambil tindakan yang sangat rapi bagi mengekang serangan penyakit itu daripada menular ke dalam negara, katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan rapi itu perlu kerana mereka yang tiba dari negara yang dilanda dengan wabak itu mungkin menghidap penyakit itu tanpa diketahui oleh mereka.

"Yang masalahnya dalam keadaan ekonomi terbuka, amat sukar sebab mereka boleh datang dari pelbagai penjuru dan penjuru itu tidak semestinya tempat permulaan perjalanan mereka," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengesahan kes kedua H1N1 di negara ini. Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Ramlee Rahmat hari ini berkata, kes kedua itu melibatkan pelajar yang baru kembali dari Amerika Syarikat pada 13 Mei lepas dan sedang dikuarantin di Hospital Pulau Pinang.

Pelajar itu merupakan teman pelajar kes pertama yang kini dikuarantin di Hospital Sungai Buloh, dekat sini yang sama-sama menaiki pesawat Penerbangan Malaysia MH091 dari Newark, New Jersey.

Ditanya sama ada kerajaan akan mengeluarkan larangan ke luar negara, Perdana Menteri berkata: "Tak ada...setakat ini tidak ada larangan." - Bernama

Penumpang MH091 13 Mei diminta hubungi Kementerian Kesihatan

5:25pm

KUALA LUMPUR 15 Mei — Berikutan pengesahan kes pertama influenza A(H1N1) di Malaysia, semua penumpang Penerbangan Malaysia MH091 dari New York, yang tiba di KLIA pada 7.15 pagi 13 Mei lepas, diminta menghubungi Kementerian Kesihatan kerana pesakit itu menaiki pesawat yang sama.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata penumpang boleh menghubungi kementerian menerusi talian 03-88810200 atau 03-88810300 untuk tindakan susulan.

Katanya kes pertama influenza A(H1N1) di Malaysia melibatkan pelajar lelaki berumur 21 tahun yang baru pulang dari Amerika Syarikat pada 13 Mei lepas dan mula mengalami demam, sakit tekak dan sakit badan semalam dan dimasukkan ke Hospital Buloh pada petang hari yang sama.

“Beliau telahpun diberi rawatan antiviral dan berada dalam keadaan stabil,” kata Dr Ismail dalam satu kenyataan hari ini. - Bernama


PUTRAJAYA 15 Mei - Kementerian Kesihatan hari ini mengesahkan kes pertama influenza A(H1N1) di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, pesakit H1N1 pertama di Malaysia merupakan seorang pelajar lelaki berumur 21 tahun yang baru pulang dari Amerika Syarikat (AS) pada 13 Mei lalu.

Beliau berkata, pesakit tersebut mengalami demam, sakit tekak, sakit badan pada semalam dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada hari yang sama.

``Beliau telah diberi rawatan antiviral dan berada dalam keadaan stabil,'' katanya dalam kenyataan di laman web rasmi Kementerian Kesihatan. - Utusan
Abih la.. da 2 org.. pasni 3 org pasni 4 pasni 'satu malaysia' kene...
This entry was posted on 5/15/2009 03:49:00 PM and is filed under , , , , , , , , , , , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

2 comments:

On May 15, 2009 at 10:43 PM , naliea said...

owh no...ngat terselamat...rupanya tidak..

 
On May 17, 2009 at 2:56 AM , fadzly said...

tak weh.. sedih.. aku berhadapan dengan patient ni weh, cuak