Ibu baru bersalin korban H1N1
8/04/2009 05:26:00 AM | Author: fadzly

Ibu baru bersalin korban pertama di Sarawak

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Seorang wanita berusia 23 tahun yang baru dua minggu bersalin menjadi korban ketujuh virus selesema babi atau influenza A (H1N1) di negara ini.

Mangsa merupakan kes kematian pertama H1N1 di Sarawak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, mangsa meninggal dunia pada pukul 4 pagi ini setelah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Miri, Sarawak sejak 22 Julai lalu.

''Dia dimasukkan ke ICU kerana mengalami komplikasi pada paru-paru dan disahkan dijangkiti H1N1 pada 23 Julai lalu. Dia telah bersalin di hospital sama dua hari sebelum itu,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, wanita itu didapati menghidap pneumonia yang teruk selepas bersalin selain mengalami simptom demam dan batuk empat hari sebelum bersalin.

''Bayi wanita itu didapati selamat dan disahkan bebas daripada H1N1. Penyebab kematian direkodkan sebagai pneumonia akibat jangkitan H1N1,'' jelas beliau.

Mohd. Ismail menambah, sebanyak 17 kes baru H1N1 termasuk satu kes kematian dilaporkan di negara ini menjadikan jumlah kes terkumpul H1N1 meningkat kepada 1,446 kes.

''Kesemua kes baru itu adalah jangkitan tempatan yang melibatkan rakyat Malaysia. Jumlah kematian akibat H1N1 di negara ini setakat ini adalah sebanyak tujuh orang,'' katanya.

Menurutnya, daripada 1,446 kes terkumpul H1N1, sebanyak 574 merupakan kes import dan 872 adalah kes jangkitan tempatan.

''Daripada jumlah ini, 1,408 kes telah sembuh, hanya 29 kes sahaja yang sedang menerima rawatan antiviral di hospital yang mana lapan daripadanya berada di ICU. Sembilan orang sedang menerima rawatan antiviral di rumah,'' katanya.

Beliau berkata, daripada lapan kes di ICU, empat daripada mereka mempunyai faktor risiko iaitu obesiti (1), wanita hamil (1) dan imuniti rendah (2).

Mohd. Ismail berkata, bagi 17 kes terpencil, tujuh kes dirawat di wad pengasingan hospital, satu kes di ICU dan sembilan orang menerima rawatan pesakit luar.

Merujuk kepada situasi global sehingga hari ini, beliau memberitahu, sejumlah 183,854 kes H1N1 dengan 1,307 kematian telah dilaporkan daripada 167 negara.

''Ia melibatkan peningkatan sebanyak 28 kes termasuk enam kes kematian berbanding dengan hari sebelumnya,'' katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai gejala jangkitan H1N1 berterusan dan bertambah teruk disaran mendapatkan rawatan di klinik serta hospital yang berdekatan.

''Kes-kes yang mempunyai simptom jangkitan influenza serta faktor risiko seperti mengandung, obesiti, asma, penyakit paru-paru kronik, diabetes dan golongan imuniti rendah akan diberi rawatan antiviral influenza serta-merta tanpa perlu membuat ujian pengesahan H1N1.

''Ini adalah untuk kes-kes yang dikesan dalam masa 48 jam selepas mereka mula mengalami simptom jangkitan influenza. Ujian pengesahan jangkitan influenza hanya perlu untuk kes-kes yang dirawat di hospital,'' katanya.

This entry was posted on 8/04/2009 05:26:00 AM and is filed under , , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

1 comments:

On August 4, 2009 at 8:14 PM , Achik said...

uii takot nye~